Tentang Kami
Gereja SIB Bandaraya Kota Kinabalu merupakan sebuah gereja lokal yang bertapak di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu sejak tahun 1970-an. Perjalanan pelayanan gereja ini bermula dari Likas, ke Bukit Bendera, ke Lembah Pantai, dan akhirnya berpusat di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu.
Sejarah Awal Penubuhan
Pada awal tahun 1970-an, belum ada satu pun gereja SIB di kawasan Kota Kinabalu. Namun, warga jemaat SIB mula berhijrah ke bandar ini atas faktor pekerjaan dan pendidikan — khususnya di institusi seperti Kolej Jururawat, YSITM, Maktab Perguruan Gaya, dan Maktab Sabah. Ketiadaan gereja SIB menyebabkan mereka terpaksa berbakti di gereja lain seperti Gereja Baptis, Gereja Basel, Sidang Injil Sabah, dan Grace Chapel.
Pertemuan pertama jemaat SIB diadakan di Book Room, Kampung Air yang dihadiri oleh beberapa pemimpin awal termasuk Pta. Jews Sinau, Rev. Ernest Leduning Lengik, Pta. Julian Sugara, Pta. George Daniel Gaing, Sdr. Dr. Moi Kok Wah, dan Sdr. Yami Gumbaris. Persekutuan ini membawa kepada penubuhan Gereja SIB Bukit Bendera yang menumpang di bangunan lama Gereja Basel, Bukit Bendera (lokasi semasa Seminari Teologi Sabah). Kepimpinan Gereja Basel memberi keizinan kepada jemaat SIB untuk menggunakan bangunan tersebut tanpa sewa — satu tanda kemurahan hati yang dihargai hingga hari ini.
Pada ketika itu, lebih kurang 100 orang jemaat hadir ke kebaktian. Menjelang tahun 1980, jumlah tersebut meningkat kepada 200 orang, dan kebaktian Bahasa Inggeris turut dimulakan oleh Rev. Dr. Chew Weng Chee. Pastor pertama yang memimpin gereja ini ialah Pta. Yakob Burung, diikuti oleh Pta. Muyou Lumanting dan kemudian Pta. Tadius Yusuf.
Perkembangan ke Likas
Menjelang awal 1980-an, bangunan di Bukit Bendera tidak lagi mampu menampung pertambahan jemaat. Justeru, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengumpul dana dan mencari tapak baharu bagi pembinaan gereja. Pada tahun 1981, kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sebidang tanah di Jalan Saga, Likas untuk pembangunan gereja SIB. Jawatankuasa Pembangunan yang diketuai oleh Rev. Dr. Chew Weng Chee, Rev. Jerry Dusing, dan Sdr. Samion Lalong segera digerakkan.
Pada Mac 1986, pembinaan gereja di Jalan Saga siap sepenuhnya, dan kebaktian pertama diadakan pada April 1986. Gereja ini dikenali sebagai Gereja SIB Likas, gereja SIB pertama yang dibina secara rasmi di Bandaraya Kota Kinabalu. Jemaat datang dari pelbagai kawasan seperti Likas, Penampang, Inanam, Kepayan, Putatan, dan Luyang.
Namun, walaupun gereja ini boleh menampung 600 orang, lokasinya yang agak jauh menyukarkan banyak jemaat — terutamanya mereka yang perlu menaiki dua kali bas atau tidak memiliki kenderaan sendiri.
Penubuhan SIB Bandaraya di Pusat Bandar
Keadaan ini mendorong para pemimpin gereja seperti Pta. Jews Sinau, Pta. Samion Lalong, Pta. James Muyou, Dkn. Benyamin Tabad, Pta. Andreas Tabari, dan Sdr. Dumin Minin untuk memulakan satu lagi tempat ibadah di pusat bandar. Majlis Pemimpin SIB Likas menyambut baik cadangan ini, dan sebuah lot kedai di Bandaran Berjaya berjaya disewa. Sekitar 100 orang jemaat hadir ke kebaktian mingguan ketika itu.
Namun, dalam tempoh dua tahun, pertambahan jemaat menyebabkan ruang tersebut menjadi sesak. Maka, para pemimpin mula mencari lokasi kekal dan strategik. Berbekalkan iman dan semangat perpaduan, mereka berjaya membeli 4 lot kedai di Tingkat 3, Blok K, Kompleks Sinsuran dengan harga RM350,000 secara tunai.
Pinjaman sebanyak RM2000 sebulan daripada Sabah Credit Corporation digunakan untuk pembiayaan, bersama bantuan geran putaran SIB Pusat sebanyak RM30,000 dan sumbangan peribadi jemaat. Setelah pengubahsuaian siap, kebaktian rasmi pertama dimulakan pada Ogos 1989 dan gereja ini dikenali sebagai Gereja SIB Bandar Kota Kinabalu, atau ringkasnya SIB Bandaraya KK — tempat ibadah ini masih digunakan hingga ke hari ini.
Fasa Perluasan dan Pembelian Lot Tambahan
Pertumbuhan jemaat yang berterusan menimbulkan keperluan baharu — ruang ibadah yang lebih luas, pejabat pentadbiran gereja, bilik-bilik sekolah minggu, dan ruang pelayanan lain. Maka, para pemimpin mengambil langkah berani dengan membeli 4 lot tambahan di Tingkat 2 pada bangunan yang sama dengan kos RM550,000 melalui pinjaman Sabah Credit Corporation.
Untuk melancarkan urusan pinjaman, sebuah syarikat telah ditubuhkan — Wise Perfect Sdn. Bhd. — yang dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Sidang Gereja SIB Bandaraya sendiri.